Followers

Thursday, April 1, 2010

Teknologi di dalam Pendidikan

Perkataan teknologi berasal dari kata Latin “textera” yang bermaksud mendirikan, mengayam atau menenun; pengertian ini tidak semestinya menunjukkan kepada bahan-bahan atau perkakasan atau penggunaan mesin-mesin yang canggih semata-mata.

Jamaludin Badusah et. al. (2000) menyatakan teknologi dalam pendidikan adalah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, pengetahuan dan kemahiran, teknik dan organisasi yang digunakan secara terancang dan teratur ( proses dan produk ) bagi menghasilkan kecekapan di dalam proses pengajaran dan keberkesanan di dalam pembelajaran.

Galbraith (1967) menyatakan teknologi bermakna penggunaan ilmu pengetahuan yang sistematik dan teratur terutama sekali di dalam usaha-usaha jenis praktikal. Yang penting sekali ialah kerja yang hendak dibuat itu dibahagi-bahgikan kepada bahagian yang lebih kecil.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1984) mentafsirkan teknologi dalam pendidikan sebagai satu cabang disiplin pendidikan yang mengutamakan penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam bidang pendidikan dan latihan. Di dalam teknologi pendidikan diutamakan penggunaan media dan kaedah-kaedah lain dan penggunaan persekitaran pelajar untuk menghasilkan pembelajaran.

Dengan itu bolehlah dikatakan teknologi dalam pendidikan mementingkan penggunaan ilmu pengetahuan yang sistematik dan teratur, ianya menekankan cara memperolehi ilmu pengetahuan dengan membahagi-bahagikan komponen besar kepada peringkat kecil supaya mudah dianalisa dan kemudian dipraktikkan. Lagipun ianya mementingkan pembelajaran murid.

Senario Pembudayaan Teknologi Dalam Pendidikan Di Malaysia

Perkembangan teknologi dalam pendidikan di negara kita mempunyai sejarahnya yang amat menarik. Pada sekitar tahun-tahun selepas kemerdekaan dan tahun-tahun 60’an, kita bersua dengan apa yang disebut “khutub khanah”. Almari, rak, ruang, sudut atau bilik khubtub khanah ini hanaya menempatkan koleksi bahan-bahan bacaan yang amat terhad dan kebanyakannya digunakan untuk urusan pinjam meminjam pada masa-masa tertentu, senggang atau masa rehat. Ada masa-masanya khutub khanah ini didapati sentiasa tertutup dan ini menyebabkan orang memanggilnya “Tutup Khanah”.

Tahun 70’an menampakkan perkembangan yang agak menggalakakan . Muali tahun 1972, semua sekolah yang baru dibina telah diperuntukkan ruang/bilik perpustakaan. Sekolah-sekolah yang lama pula, telah diberikan peruntukan tambahan untuk pembinaan ruang/bilik perpustakaan masing-masing. Mulai tahun 1974, geran perkapita perpustakaan diberi kepada semua sekolah. Kursus dalam perkhidmatan untuk guru perpustakaan mula dilaksanakan di seluruh negara. Selain daripada pertambahan koleksi buku di perpustakaan , sekolah-sekolah juga mewujudkan bilik Alat Pandang Dengar (APD) yang menempatkan bahan bukan buku seperti carta, gambar, glob, peta, ‘Overhead Projektor (OHP), projektor slaid, radio kaset dan television. Perkhidmatan perpustakaan dan alat pandang dengar memjadi penting dalam perlaksanaan sisitem pendidikan ketika ini. Kembar kedua-dua ini, perpustakaan dan alat pandang dengar menjadi ciri penting di sekolah-sekolah.

Tahun awal 80’an, konsep dan pengurusan Pusat Sumber Sekolah mula dilaksanakan. Ini merupakan gabungan perkhidmatan perpustakaan tradisional buku dengan perkhidmatan alat pandang dengar di bawah satu sistem pengurusan. Pelaksanaan KBSR menyemarakkan lagi perkhidmatan pusat sumber sekolah dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Koleksi bahan cetak dan bahan elektronik semakin bertambah di pusat sumber sekolah. Kursus-kursus dalam perkhidmatan tentang pengurusan pusat sumber sekolah dan aplikasi penggunaan alat pandang dengar banyak dijalankan di setiap negeri. Peranan pusat sumber sekolah dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum menjadi semakin penting di kebanyakan sekolah.
Tahun 90’an merupakan tahun-tahun ledakan teknologi makluamt (IT) yang amat ketara. Penggunaan komputer dan sistem komputeran yang meluas dalam pelbagai aspek pengurusan dan komunikasi telah menimbulkan impak yang besar dalam pelaksanaan kaedah-kaedah baru dalam pendidikan. Bagi sekolah-sekolah yang berkemampuan CD-ROM dan perkhidmatam internet, pusat sumber sekolah menjadi suatu perkhidmatan yang penting dalam usaha meningkatkan kuaiti pendidikan, menyediakan pelajaran untuk menghadapi zaman maklumat.
Membina budaya ilmu, menanam asas pendidikan sepanjang hayat dan memperkembangkan lagi potensi-potensi murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Budaya membaca, pelajar Bergeliga Negara Jaya, ‘Life Long Learner’ perlu diterapkan dan dijadikan budaya diri.
Usaha memantapkan hala tuju dan peranan teknologi dalam pendidikan pada era digital ini juga ada kaitannya dengan pelaksanaan “Fokus Pengurusan Pendidikan” yang disarankan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia iaitu fokus 6: Pembinaan infrastruktur sokongan pengajaran dan pembelajaran. Fokus ini menekankan bahawa perkembangan teknologi dan kaedah baru (inovasi) dalam pendidikan pengajaran dan pembelajaran memerlukan tindakan (pembudayaan) yang meningkatkan kualiti teknologi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan pengkomputeran ( computr application ) dalam bilik darjah akan dipertingkatkan melalui usahasama sekolah, ibubapa, dan pusat. Pembinaan bahan pengjaran seperti buku teks dan multimedia akan diperluaskan supaya bahan ini dapat menjalin kurikulum sekolah dengan realiti dunia luar serta meningkatkan kualiti pemikiran dan kemahiran murid dan boleh menyesuaikan diri atau menangani cabaran masa depan.
Kursus untuk meningkatkan kemahiran guru dalam penggunaan teknologi untuk pengajaran dan pendidikan akan diperluaskan. Sistem Rankaian Teknologi Pendidikan sepeti Pusat Sumber Pendidikan (PSP), Pusat Kegiatan Guru (PKG) akan diperkemaskan dan dibentuk supaya berfungsi dengan lebih berkesan. Pusat sumber sekolah dipertingkat, inventori berkenaan keperluan alat-alat dan bahan-bahan mengajar yang perlu ada di tiap-tiap sekolah dirancnag supaya ia dapat memberi peluang kualiti pengajaran dan pembelajaran yang sama bagi semua murid.

Sejarah Penubuhan Pusat Sumber Sekolah dan Penggunaan Teknologi Dalam Pendidikan Di Malaysia.
1960 - Pusat Audio-Visual Kebangsaan dibentuk di bawah Bahagian Latihan Guru dan kemudian dipindahkan ke Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia 1965 - Television Pendidikan telah memulakan satu program perintis bagi Sains Am yang diterbitkan di bawah Kementerian Penerangan Bersama dengan Kementerian pelajaran 1966 - Penubuhan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Am Pendidikan oleh Kementerian Penerangan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bertujuan penggunaan teknologi pendidikan dan menjadikan Pusat Sumber Sekolah sebagai infrasruktur penting yang dapat menyokong amalan teknologi pendidikan di sekolah.

1972 - Pusat Audio-Visual Kebangsaan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Am Pendidikan ( Radio Pendidikan) dan Television disatukan di bawah satu Unit iaitu Unit Perkhidmatan Media Pendidikan. 1983 - Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menggunakan istilah Pusat Sumber Sekolah (PSS) bagi menggantikan istilah Perpustakaan Sekolah

1988 - Unit Perkhidmatan Perpustakaan yang sebelum ini diletakkan di bawah Bahagian Sekolah telah digabungkan dengan Unit Kejuruteraan. Pusat Audio Visual Kebangsaan, Bahagian Perkhidmatan Sebaran Am Pendidikan, ( Radio Pendidikan & Television Pendidikan ) di bawah satu bahagian Kementerian Pendidikan dinamakan Bahagian Teknologi Pendidikan.

1997 - Unit Teknologi Pendidikan dinaiktaraf kepada Pusat Sumber Pendidikan Negeri.

Bahan Sumber Teknologi Pendidikan.
Terdapat berbagai bahan yang boleh dikategorikan sebagai bahan sumber teknologi pendidikan dan didapati pengkategorian ini selari dengan media teknologi itu. Pengklasifikasian ini terbahagi kepada dua bahagian utama;
- Jenis-jenis bahan bercetak
- Jenis-jenis bahan bukan bercetak

Jenis-jenis Bahan Bercetak
a. Buku fiksyen b. Buku bukan fiksyen c. Terbitan berkala d. Gambarfoto
Jenis-jenis Bukan Bercetak
a. Perkakasan
i) Bahan bukan tayang seperti papan hitam, papan magnet, papan flanel, bingkai carta pusing, imej primer, imej printer, mikro
komputer.
ii) Bahan Pendengaran (Audio) Seperti radio, radio kaset, pita kaset, ‘audio card recorder’ iii) Bahan Tayang seperti ‘overhead projector’, projektor fiem slaid, projektor filem jalur, televisyen.
b. Perisian
Seperti transpirensi OHP, filem jalur, filem sisipan, filem 16mm/8mm, kaset pita audio, kaset pita video, carta, kad-kadflanel, kad imbasan, disket, cakra padat (CD)

c. Bahan Tiga Dimensi (3D)
Seperti glob, replika, spesimen, model, bahan-bahan relia, diorama, permaianan, boneka

Penggunaan Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan Era Digital

Sesuai dengan perkembangan pendidikan negara serta perkembangan pesat teknologi maklumat, fokus terhadap peningkatan kualiti infrastruktur sokongan pengajaran dan pembelajaran sedang diberi perhatian penting. Perkembangan teknologi dan kaedah baru dalam Pengajaran dan Pembelajaran memerlukan tindakan-tindakan untuk meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran . Antaranya ialah meningkatkan penggunaan pengkomputeran dalam bilik darjah, memperluaskan pembinaan bahan-bahan pengjaran seperti buku teks dan multimedia serta meningkatkan penggunaan Pusat Sumber Sekolah sebagai nadi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Oleh itu, usaha-usaha ke arah meningkatkan taraf pusat sumber sekolah ke taraf pusat Sumber elektronik/digital sedang giat dilaksanakan. Konsep pusat sumber dalam era digit adalah sebagai satu tempat yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran secara sistematik dalam pelbagai sumber, sama ada bercetak atau elektronik.

Dengan penubuhan pusat sumber seperti ini dapat mewujudkan satu rangkaian maklumat di institusi pendidikan supaya pengguna dapat berhubung secara elektronik, memperolehi teknologi maklumat dari seluruh dunia melalui internet untuk tujuan penyelidikan dan pembelajaran, menghasilkan sumber pengajaran dan pembelajaran berasakan komputer, menghasilkan CD-ROM untuk pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan pengetahuan dan maklumat dengan kajian dan pembelajaran melalui internet, Local Area Network (LAN) dan Wide Area Neetwork (WAN).

Adalah diharapkan dengan wawasan yang dibina segala perancangan dan tindakan yang diambil masa kini tidak akan menyebabkan pendidikan di Malaysia ketingalan jauh malah mendekatkan lagi maklumat dan bahan-bahan baru untuk dijadikan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam abad 21 ini.

Petikan ini dipetik dari Teknologi dan inovasi dalam pendidikan muat turun dari http://ge2123.tripod.com/Paul/tugasan2.htm pada 1-4-2010 jam 8.45p.m

3 comments:

  1. Tahniah anda telah dapat idea bagaimana hendak menggunakan blog ini kerana ia juga merupakan satu kaedah dalam teknologi hari ini mendapatkan ilmu dan bertukar-tukar pandangan atau idea. Usaha yang baik akan memberi manfaat kepada semua. Good luck.

    ReplyDelete
  2. Perancangan yang baik adalah asas kejayaan. Tetapi ada idea yang maju ke hadapan mencetus inspirasi. Jadi pusat sumber elektronik yang dilengkapi serba kemudahan membawa manfaat kepada pelajar-pelajar. Syabas!

    ReplyDelete
  3. Kerajaan telah membekalkan berjuta ringgit untuk membekalkan peralatan ICT di sekolah. Gunakan sepenuhnya walaupun PPSMI hampir sampai ke penghujung.Jadi sebagai contoh, dicadangkan troli PPSMI tu diubahsuai fungsinya sebagai troli hadiah semasa hari kecemerlangan. Jangan lupa letakkan 2 @ 3 reben untuk kelihatan lebih cantik lagi...

    ReplyDelete